//]]>

ZAKAT PENDAPATAN

March 10, 2016

Zakat Pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas. Zakat Pendapatan telah diklasifikasikan sebagai harta yang ikhtilaf untuk dikenakan zakat. Terdapat dalil mengenai zakat yang dijelaskan dalam Al-Quran. Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

‘Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa-apa yang Kami keluarkan daripada bumi untuk kamu’
Al-Baqarah (2: 267)
Allah menjelaskan bahawa segala hasil usaha yang baik itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion (kerjaya), maka itu juga termasuk dalam hasil usaha yang wajib dizakat.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
‘Menjadi sesuatu kewajipan atas setiap Muslim bersedekah (zakat)".Mereka bertanya, "Wahai Rasullullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?".Baginda menjawab, "Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah."Mereka bertanya, " Kalau tidak mempunyai pekerjaan?".Baginda bersabda, "Tolonglah mereka yang meminta pertolongan". Mereka bertanya lagi, "Bagaimana pula jika tidak berkuasa?".Baginda menjawab, "Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah.’

Syarat-Syarat wajib bagi Zakat Pendapatan ialah:

1) Islam. Hanya orang Islam yang cukup syaratnya berzakat.
2) Merdeka. Tidak dikenakan zakat ke atas hamba.
3) Sempurna Milik. Harta milik sendiri dan bukanya harta orang lain.
4) Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat. Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan elaun tetap yang tidak berubah.
5) Cukup Hisab. Nisab bagi Zakat Pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang kadar nisabnya disandarkan kepada kadar nisab emas.
6) Cukup Haul. Mengikut kaedah umum pengiraan harta-harta zakat maka dalam konteks Zakat Pendapatan, jangka masa setahun adalah merupakan jarak masa bagi mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, yang lebih penting seharusnya Zakat Pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya persoalan harta wang simpanan. Ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.
Seringkali masyarakat mempersoalkan mengenai hukum zakat, walhal zakat dan solat mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Islam kerana kedua-duanya adalah termasuk dalam Rukun Islam iaitu perkara pokok atau dasar bagi agama Islam. Ada sesetengah ulama’ pula berpendapat bahawa mempersoalkan hukum zakat boleh menjerumus seseorang itu ke dalam kekufuran.
Oleh itu, jelaslah di sini bahawa Zakat Pendapatan itu wajib dikeluarkan zakatnya kepada setiap umat Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Semoga apa yang kita keluarkan di dunia ini akan mendapat pahala dan keredhaan daripada Allah S.W.T., Tuhan Pencipta Alam.

SUMBER : SINI 

You Might Also Like

4 pesanan ditinggalkan

tinggalkan komen anda di sini ^O^